Pengaruh selebriti beri kesan buruk kanak-kanak
LONDON: Satu kajian terbaru mendakwa budaya yang terlalu
mengagungkan selebriti meninggalkan kesan bahaya termasuk menghasilkan
generasi muda yang percaya pendidikan dan kerja keras bukan lagi penentu
kejayaan dalam hidup.
Tinjauan Persatuan Guru dan Pensyarah Britain mendapati lebih 70 peratus guru sekolah rendah dan menengah juga mendakwa budaya
memuja selebriti khususnya kalangan artis dan ahli sukan sebagai idola
sebaliknya menjadi halangan utama bagi kanak-kanak menyemai cita-cita
murni dan mencapai kejayaan dengan cara yang betul.
Elizabeth Farrar, guru sekolah rendah di Scunthorpe, berkata terlalu
ramai pelajar yang beranggapan kejayaan akademik bukan lagi satu
keperluan kerana mampu meraih kejayaan dan kekayaan dengan hanya menjadi
bintang program realiti televisyen.
Sebanyak 37 peratus guru percaya ramai anak murid mereka mahu menjadi terkenal kerana terpengaruh dengan takrifan salah kejayaan yang dipaparkan selebriti.
Sebanyak 37 peratus guru percaya ramai anak murid mereka mahu menjadi terkenal kerana terpengaruh dengan takrifan salah kejayaan yang dipaparkan selebriti.
“Guru bimbang anak muda ini tidak dapat menyelami erti kejayaan
sebenar dan susah payah yang perlu dilalui sebelum idola mereka itu
mencapai kedudukan itu. Bagi mereka, kejayaan sebenar adalah dengan
menjadi popular.
“Berikutan itu, apabila mereka dewasa, generasi itu akan mengasingkan
diri, tersisih dan memiliki daya keyakinan diri yang amat rendah hanya
kerana tidak popular atau gagal mencapai status selebriti seperti idola
mereka,” kata Dr Mary Bousted, Setiausaha Agung persatuan.
“Tidak dinafikan ada selebriti yang mampu memberi inspirasi kepada
pelajar. Tetapi apa yang lebih kita bimbangkan adalah ramai kanak-kanak
ini percaya yang status selebriti itu mudah dan boleh dicapai sesiapa
pun. “Mereka tidak lagi memikirkan kepentingan untuk belajar atau kerja
keras yang menjadi asas kejayaan.”
Tinjauan itu juga mendapati bintang bola sepak, David Beckham dan
isterinya, Victoria atau ‘Posh’ Spice, adalah selebriti yang paling
berpengaruh kepada golongan muda.
Beckham yang kini bermain untuk sebuah kelab bola sepak Amerika
Syarikat, berada di kedudukan teratas dengan purata 53 peratus sokongan
oleh pelajar, manakala isterinya, di tempat kedua.
Secara keseluruhan, bintang sukan menjadi kelompok selebriti paling
diminati, manakala penyanyi pop seperti Sugababes dan Leona Lewis, di
tempat kedua.
Kegilaan pelajar terhadap idola mereka itu menimbulkan kebimbangan
kepada guru yang khuatir kesan pengaruh selebriti itu kepada bentuk
aspirasi kejayaan yang mahu diraih pelajar. – Agensi
0 comments:
Post a Comment